Friday 9 March 2012

SOLID FOOD FOR BABY

Koleksi Makanan Bayi Buat Cik Iman.
Salam semua,
Sudah lama tak update tentang makanan bayi buat Cik Iman. Iman masih makan makanan buatan tangan Mama Iman. Cuma kerana umurnya sudahpun hampir 10 bulan, beliau perlukan lebih dan lebih nutrisi. Ayam juga sudah dimasukkan ke dalam menu Cik Iman. Ayam, daging, dan ikan merupakan sumber zat besi, vitamin B, zink, magnesium dan protein yang diperlukan untuk pertumbuhan. Pilih daging yang tiada lemak, dan buang bahagian-bahagian yang berlemak seperti kulit dari menu bayi.
Makanan bayi beku atau frozen solid food sangatlah praktikal buat ibu-ibu yang bekerjaya. Cuma luangkan 1 jam waktu hujung minggu anda, untuk menyediakan makanan beku bayi yang kemudiannya dimasukkan ke dalam bubur nasi bayi setiap pagi sebelum ke pejabat. Proses masa diambil hanyalah 5 minit sahaja. Tidak tahu caranya? Klik sahaja di sini untuk membuat puree kurma dan bagaimana untuk mencampurkan puree ke dalam bubur bayi. Bagaimana ayam disimpan sebagai makanan bayi beku? Prosesnya sama sahaja.
Penyediaan Ayam Beku untuk Makanan Bayi (9 bulan ke atas)
  1. Ambil bahagian daging ayam yang tidak berlemak, buang kulit dan tulang.
  2. Rebus sehingga empuk dan lembut, minimumkan penggunaan air semasa merebus.
  3. Kisar sehingga halus bersama air rebusan.
  4. Masukkan ke dalam bekas acuan ais.
  5. Bekukan semalaman.
Inilah hasilnya.
Ketulan ayam yang sudah dibeku dan diasingkan ke dalam bekas. Sedia  untuk dimasukkan ke dalam bubur nasi bayi.
Di sini saya kongsikan penyediaan puree epal yang dahulu menjadi alergi kepada kulit Iman. Saya ingin mencuba kembali menu epal ke dalam makanannya, dan perhatikan tindak balas tubuh Iman, muncul ruam kembali di pipi ataupun tidak.
Rebus epal yang telah dikupas kulitnya sehingga lembut. Tidak perlukan air yang banyak.
Puree epal dan puree lobak yang sedia untuk dibekukan (eh..tiba-tiba ada puree lobak pulak – hehe). Masukkan ke dalam tray acuan ais yang bertutup. Sangat praktikal. Acuan ais ini boleh didapati di Giant, berharga RM4 setiap sepasang. Hehe.

Cantik kan? Puree lobak yang telah baru dibekukan, dipindahkan ke dalam bekas bertutup lain supaya bekas ais tadi dapat diguna untuk membuat puree yang lain. Takkan nak beli berdozen-dozen. Tercekik saya.
Puree Epal

Puree Keledek Merah
Puree Brokoli
Menyusun Menu Bayi Anda
Bagaimana? Saya pelbagaikan jenis menu Cik Iman. Kadang-kadang saya campurkan buah-buahan tanpa sebarang ayam. Kadangk-kadang ayam dan sayur semata. Saya buat begini supaya Iman tidak bosan makan benda yang sama setiap hari.   Contoh seperti berikut.
  1. Isnin: Bubur Nasi Putih + Brokoli + Ayam + Lobak Merah
  2. Selasa: Bubur Nasi Putih + Keledek Merah + Kobis Bunga
  3. Rabu: Bubur Nasi Putih + Lobak Merah + Ayam + Bayam
  4. Khamis: Bubur Nasi Putih + Epal + Brokoli
  5. Jumaat: Bubur Nasi Putih + Keledek Merah + Bayam +Ayam
  6. Sabtu & Ahad: Banyak Kombinasi, sebab berada di rumah, jadi kadangkala beri pisang, betik, yang dijadikan finger food. Nasi juga tak lupa.
Campuran bubur nasi
Garam dan gula tidak dicampurkan sama sekali. Sekiranya bayi anda telah dimulakan pemakanannya dengan bubur segera di pasaran, hampir mustahil untuk bayi anda menerima makanan homemade yang tawar seperti di atas kerana sudah terbiasa dengan perisa tambahan, garam dan gula yang terdapat dalam bubur segera bayi. Oleh itu, mulakan pemakanan sihat bayi anda sedari awal, iaitu jangan mengenalkan langsung garam dan gula pada makanannya. InsyaAllah kerana sudah terbiasa dengan makanan terbabit, sehingga ke besar mereka tidak menyukai makanan terlebih garam dan gula.
Untuk memberi rasa  manis pada bubur, pastikan elemen manis itu datang dari buah-buahan seperti epal, kobis bunga dan juga lobak merah. Boleh juga ditambahkan susu ibu untuk rasa lemak berkrim. Malah, susu ibu juga manis rasanya dan memberikan rasa biasa pada lidah bayi. Jika inginkan rasa masin, cukup hanya dengan menampah serbuk ikan bilis, sedikit sudah memadai. Cik Iman tak berapa suka ikan bilis. Hehe. Tapi masih makan juga lah. Malah, Cik Iman boleh jek terima makan bubur nasi putih, ayam dan bayam begitu sahaja.
Finger food? Saya bukakan baju Iman, bentangkan plastik alas meja di lantai, dan beri Iman betik masak yang ranum untuk dipegang dan dieksplore. Pernah juga buat dengan biji buah mangga yang masih ada isi-isi terakhir. Pastikan anda sentiasa pantau setiap sesi makan supaya insiden seperti tercekik makanan tidak beraku.
Selamat Mencuba.

1 comment:

  1. Same la..sy pun main campur je nasik ngan buah2..bg ade rs lain sket..

    ReplyDelete